Thursday, November 22, 2012

Kekal Aktif Dan Bertenaga Sepanjang Ramadhan


Ramadhan adalah anugerah yang Allah kurniakan pada hamba-hambaNya. Yang mana hanya Allah yang Maha Mengetahui segalanya. Ramadan bulan untuk kita mentarbiah fikriah, jasadiah serta ruhiah dengan memastikan niat yang betul melaksanakan ibadat puasa dan pada masa sama mengambil kesempatan diberi Allah menggandakan ibadat sunat bagi merebut ganjaran dijanjikan. 

Hadith riwayat alBaghawi dari seorang lelaki di kalangan sahabat. Firman Allah dalam hadith qudsi yang beremaksud:

“Satu kebajikan dibalas dengan sepuluh kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untukKu, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai dari azab Allah sebagaimana penyangga, sebagai perisai dari mata pedang”

Banyak kajian saintifik telah dibuat berkaitan kebaikan berpuasa. Dengan itu tidak seharusnya puasa menyebabkan kita jadi letih dan lesu seandainya kita mengikut peraturan segala perkara wajib dan sunat ketika berpuasa. Oleh itu untuk kita kekal aktif dan bertenaga sepanjang Ramadhan:

1.   Dahulukan amalan dengan niat yang betul iaitu kita laksanakan puasa kerana perintah Allah SWT yang Maha Mengetahui segala hikmah disebaliknya. Ini secara tak langsung meletakkan minda kita kepada matlamat berpuasa dan menyerahkan segalanya kepada ketetapan Allah. Secara biologinya segala struktur badan kita akan bertindak mengikut niat kita tersebut.

2.   Bersahur dan disunatkan juga ke atas kita melewatkan sahur walaupun dengan beberapa biji kurma dan seteguk air. Nabi bersabda, “Makanlah sahur kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat Bukhari)


3.   Banyakkan beribadah dan membaca Quran dengan bersungguh dan istiqamah. Dengan bacaan al-Quran akan meningkatkan daya ingatan di samping ketenangan jiwa. Abdullah Ibn Abbas meriwayatkan, “Jibrail menemui Nabi pada setiap malam Ramadan untuk bertadarus al-Quran, dan Rasulullah ketika itu lebih cepat mengerjakan kebaikan, lebih cepat daripada angin yang berhembus.” (Riwayat Bukhari)

4.   Banyakkan solat sunat. Solat tarawih pula melalui suatu kajian mendapati akan membakar secara puratanya 10 kalori tenaga setiap raka`at, di samping meningkatkan kesihatan tulang, otot, sendi dan lain-lain. Diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abdur Rahman, sesungguhnya dia telah bertanya kepada Aisyah, “Bagaimana salat malam Rasulullah di bulan Ramadan? Aisyah menjawab, “Rasulullah tidak pernah melakukan salat malam lebih daripada sebelas rakaat baik di bulan Ramadan ataupun di bulan-bulan yang lain…” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

5.  Segera berbuka dan makan dengan kadar yang sederhana tidak berlebihan. Daripada Anas bin Malik meriwayatkan, “Rasulullah berbuka dengan memakan beberapa ruthaab (iaitu kurma basah) sebelum solat, kalau tidak ada kurma basah maka baginda berbuka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk.” (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)Keletihan dan kelesuan kita berpuasa adalah disebabkan makanan yang diambil secara berlebihan dan mengikut hawa nafsu yang mana akan menyebabkan badan akan teruk memproses makanan dan ini yang menyebabkan kita mengantuk, letih dan lesu.

6.   Hindar daripada makan dan minum makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula yang tinggi dan berkafein. Kerana gula dalam makanan adalah gula ringkas dan kafein akan mempercepatkan kadar matabolisme badan kita dan kita akan cepat berasa lapar, penat dan lesu.

Al Baqarah (168).  Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; Karena Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.

Al-A’raf (31).  Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

Keletihan dan kelesuan kadang-kadang adalah berpunca daripada kawalan minda/psikologi kita sendiri juga tabiat pemakanan yang tidak baik oleh kita. Oleh itu hadapilah Ramdhan ini dengan penuh ketaqwaan, keikhlasan dan penyerahan yang total kepada Allah SWT. Insya Allah kita akan kekal terus bertenaga di sepanjang Ramadhan.